CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, 30 December 2008

.: Tahun baru, air mata dan rejuvenasi :

TENGAH malam ini satu lagi lembaran baru akan dibuka. Kita akan menyambut kedatangan 2009 Masihi. Bagi umat Islam mereka telah pun membuat tekad baru sejak empat hari lalu apabila tahun baru Hijrah 1430 disambut di seluruh surau dan masjid di serata negara. Namun sejak kemunculan teknologi SMS, mesej-mesej ringkas sambutan Maal Hijrah telah menjadi trend. Kini rata-rata umat Islam mahupun bukan Islam - sudah mulai mengucapkan Selamat Maal Hijrah dan Awal Muharam kepada rakan-taulan dan sanak- saudara masing-masing.

Kita pasti, tepat detik 12 tengah malam ini, hotel-hotel dan tempat-tempat awam - malah mat-mat rempit akan turut 'naik minyak' di atas jalan-jalan raya - menyambut kedatangan tahun baru itu.

Bagaimanapun kedatangan Maal Hijrah beberapa hari lalu juga cukup bermakna. Surau-surau dan masjid-masjid mengadakan bacaan doa kedatangan tahun baru itu serta majlis-majlis ilmu, yang meriahnya sama dengan suasana di hotel-hotel. Ada jemaah yang mengalirkan air mata kerana tahun 2008, yang mungkin menggembirakan mereka telah berlalu pergi. Ada yang mengalirkan air mata kesyukuran kerana dipanjangkan umur sehingga kini. Ada yang menangisi di atas perhitungan silap yang telah mereka buat. Dan, ada juga yang menitiskan air mata kerana tidak pasti apakah cabaran mendatang di tahun ini.

Sesungguhnya kedatangan 2009M dan 1430H itu disambut dengan cara yang tersendiri. Namun, dalam masa kita menyambut kemeriahan kedatangan tahun baru ini, kita harus sentiasa berwaspada kepada pelbagai cabaran mendatang di hadapan kita.

Suasana ekonomi global, yang kononnya menurut Bank Negara tidak begitu menjejaskan negara, dijangka bakal memberi impak yang hebat kepada kita semua. Persiapan awal perlu disediakan bagi membolehkan kita tidak 'tenggelam' diharung cabaran tersebut.

Walaupun kejatuhan harga minyak menggembirakan kita semua, namun ia tidak kepada syarikat-syarikat pengeluar yang selama ini menyumbangkan cukai yang besar kepada negara. Begitu juga kelembapan pertumbuhan sektor perindustrian yang bakal memperlihatkan pembuangan pekerja. Apapun kita berharap kerajaan dapat menangani kesan rantaian daripada fenomena ini dengan sebaik mungkin.

Suasana politik Malaysia bahana pilihan raya umum 2008 yang memperlihatkan orang Melayu berpecah empat (UMNO, Pas, PKR dan golongan liberal yang tidak peduli) dijangka terus dibincangkan pada 2009. Politik negara dilihat menjadi semakin unik apabila berlakunya perubahan sikap yang cukup ketara ke atas orang bukan Melayu. Mereka dilihat semakin bersatu - menyuarakan hak dan kepentingan masing-masing. Mereka juga sudah berani.

Kita tidak pasti apakah fenomena 'kesepaduan' ini akan berterusan. Namun jika ia berkekalan sehinggalah kepada pilihan raya yang akan datang - pastinya orang Melayu sudah tiada pilihan selain menerima hakikat yang telah ditentukan oleh mereka sendiri pada pilihan raya 2008.

Khutbah Jumaat lalu di sebuah masjid di Kelana Jaya cukup menginsafkan apabila seorang khatib membangkitkan mengenai soal hala tuju orang Melayu Islam di negara ini. Beliau memberikan satu gambaran yang memperlihatkan hak yang ada di tangan kaum itu semakin cair. Contoh yang diberinya cukup menarik. Beliau menarik perhatian makmum supaya melihat kawasan-kawasan perumahan dan konstituensi di sekeliling mereka yang dulunya merupakan kubu kuat orang Melayu kini telah cair. Malah beliau meramalkan lebih banyak lagi kawasan akan terus cair. Ringkasnya beliau memberi amaran bahawa kuasa politik Melayu kini semakin hilang.

Peralihan pucuk pimpinan UMNO dan negara pada Mac ini juga dijangka menarik untuk diperhatikan. Seluruh perhatian negara akan ditumpukan kepada proses tersebut yang dijangka berlangsung dengan sempurna. Adalah menjadi harapan kita unsur-unsur politiking keterlaluan dalam UMNO, terutamanya dalam proses perebutan jawatan-jawatan penting parti itu dapat dikurangkan. Sesungguhnya rakyat sudah muak melihat gelagat-gelagat semacam itu acap kali berlaku di dalam parti itu.

Adalah menjadi harapan orang Melayu mahu melihat UMNO, sebagai sebuah parti tunggak di negara ini direjuvenasikan (dipermudakan) agar ia lebih hebat dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu dan negara ini.

Kita juga berharap tahun 1430H dan 2009M ini akan memperlihatkan sistem pentadbiran kerajaan lebih tersusun serta dasar-dasarnya yang konsisten. Walaupun kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memperbaikinya terutama daripada segi integriti dan kewibawaan, namun maklum balas dari bawah terus memperlihatkan sistem tersebut masih lemah dan boleh dibaiki.

Akhir sekali, adalah menjadi harapan kita sekali lagi, Malaysia dan rakyatnya akan terus dilindungi dan diberi kemakmuran oleh-Nya.

Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia.


Pastinya masa balik Malaysia nnt suasana sekeliling berubah, tidak seperti dulu lagi la kot. marilah sama-sama berdoa agar perpaduan dan keamanan Malaysia sentiasa berkekalan. semoga seluruh umat Islam di Palestin diberi perlindungan dan keadilan yang sewajarnya. amin...


0 comments: